Kalendar Akademik 2026 KPM Seimbang dan Strategik – Kongres Guru
Kalendar Akademik 2026 KPM Seimbang dan Strategik – Kongres Guru
KUALA LUMPUR – Kalendar Akademik Tahun 2026 yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan seimbang, tersusun dan berasaskan perancangan strategik yang baik.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohamad Zapawi Mamat, berkata pengumuman awal itu memberi peluang kepada guru dan pihak sekolah membuat perancangan tahunan dengan lebih teratur.
“Kongres mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada KPM kerana dapat mengeluarkan kalendar akademik lebih awal berbanding tahun sebelumnya.
Ini menunjukkan keprihatinan kementerian dalam membantu pengurusan sekolah menyusun takwim tahunan lebih awal.
“Pelaksanaan sistem dua penggal persekolahan seperti tahun lalu membantu mengekalkan kesinambungan pembelajaran pasca pandemik tanpa perubahan mendadak pada struktur penggal,” katanya.
Katanya, langkah ini membantu kesinambungan dalam sistem pentaksiran, pengurusan program sekolah dan perancangan guru,” katanya yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM).
Beliau berkata, penetapan tarikh mula persekolahan pada 11 Januari bagi Kumpulan A dan 12 Januari bagi Kumpulan B memberi ruang kepada sekolah menyusun program kokurikulum, peperiksaan dan aktiviti tahunan lebih awal.
“Walaupun tarikh berbeza sehari antara dua kumpulan, ia tetap mencerminkan keadilan dalam pembahagian masa pengajaran antara negeri,” katanya.
Pada masa sama, Kongres mencadangkan KPM turut mengambil kira faktor cuaca dan musim tengkujuh khususnya di negeri pantai timur pada November hingga Disember yang mungkin menjejaskan pelaksanaan aktiviti luar dan peperiksaan akhir tahun.-SAHIH
