“KALAU PKP SAMBUNG LAGI TAK TAHU LA NASIB KAMI”- KETUA KELUARGA
“KALAU PKP SAMBUNG LAGI TAK TAHU LA NASIB KAMI”- KETUA KELUARGA
TEMERLOH: Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, setelah dua kali dilaksanakan yang melibatkan hampir tempoh sebulan, tempoh itu disambung lagi buat kali ketiga bermula 29 Jun dan tidak tahu bila kesudahannya ini bukan suatu cerita rekaan bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Dugaan mengharungi tempoh PKP 3.0 atau Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak tahu bila akan tamat amat menyeramkan bagi golongan peniaga yang kesannya mungkin pendapatan mereka berkurangan akibat kekurangan pelanggan dan tidak dapat bekerja kerana tempat kerja masing-masing tidak beroperasi.
Orang-orang yang terkesan ini tentu ada di sekeliling kita, tidak jauh mungkin dekat sahaja dan tidak mustahil mungkin jiran sebelah rumah kita, kata Pengerusi Laskar, Abdul Razak Endot.
Baru-baru ini Abdul Razak melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) Laskar, menghantar bantuan di Taman Tualang Indah, Mentakab selepas dihubungi oleh sebuah keluarga di sana.
Katanya, ada yang meminta bantuan lampin dewasa kerana ada ahli keluarga seorang wanita warga emas yang terlantar uzur. Ketika menghantar bantuan yang diminta, mereka turut membawa pek makanan buat mereka.
“Ketua keluarga itu tidak boleh bekerja kerana kilang tutup. Jadi buat masa ini bergantung dengan wang simpanan yang ada namun tidak mencukupi untuk menanggung kos membeli lampin dewasa.
“Sambil berbual, ketua keluarga itu mengatakan bahawa jika PKP 3.0 ini disambung lagi selepas 28 Jun, dia sudah tidak tahu cara apa lagi untuk mendapatkan pendapatan bagi menanggung keluarga,” katanya.
Katanya, namun sekarang apa yang keluarga itu bimbangkan sudah menjadi realiti apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa PKP 3.0 dilanjutkan.
“Sebelum meninggalkan mereka kami sempat berpesan jika perlukan bantuan hubungilah kami dan kami akan cuba membantu. Saya pasti bukan keluarga ini sahaja yang mengalami nasib seperti ini dan tidak mustahil jumlahnya adalah besar di luar sana.
“Jika dalam kesusahan, jangan malu jangan segan untuk meminta bantuan dengan jiran, saudara-mara atau mana-mana pihak yang menawarkan bantuan.
“Tempoh sukar ini mari kita tempuhi bersama. Pastikan tiada yang tertinggal kerana sinar di hujung terowong adalah kemenangan kita semua,” katanya.-SAHIH.