Kakitangan Mutiara Taman Negara gotong-royong masak bubur lambuk, pelancong terharu
Kakitangan Mutiara Taman Negara gotong-royong masak bubur lambuk, pelancong terharu
JERANTUT – Kakitangan Mutiara Taman Negara Resort bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada komuniti sekitar Taman Negara Kuala Tahan sempena Ramadan.

Penyelaras program, Mohd Khadzir Abdullah (kiri) bersana kakitangan lain menyediakan bubur lambuk.
Penyelaras program, Mohd Khadzir Abdullah berkata, bubur lambuk tersebut dimasak menggunakan perencah khas yang disediakan oleh cef resort dan aktiviti itu sudah menjadi tradisi tahunan setiap kali menjelang Ramadan.
“Kami mula memasak dari jam 9 pagi hingga 3 petang dengan penglibatan semua kakitangan resort.
“Tahun ini jumlah bubur yang dimasak meningkat kepada 30 kilogram berbanding hanya 15 kilogram sebelum ini bagi memenuhi permintaan komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, sebanyak tiga periuk besar digunakan untuk menyediakan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar Kuala Tahan.
Katanya, program itu bukan sahaja menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan kakitangan, malah menjadi platform untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Sementara itu, pelancong dari Jerman, Karl Heinrich, 56, melahirkan rasa terharu selepas menerima bubur lambuk yang diagihkan kepada orang ramai di Bazar Ramadan Pasdec, Kuala Tahan.
Katanya, walaupun bukan beragama Islam, beliau tetap menerima hidangan itu dan tersentuh dengan sikap masyarakat tempatan yang berkongsi rezeki tanpa mengira latar belakang.
“Saya sangat terharu dengan keramahan penduduk di sini. Walaupun saya bukan Muslim, mereka tetap berkongsi makanan dengan saya.
“Ia pengalaman yang sangat bermakna dan menunjukkan semangat perpaduan serta kemurahan hati masyarakat di sini,” katanya.-SAHIH.
