Kakitangan Monstr Confectionery santuni warga emas
Foto atas: Mohammad Khairul (tiga dari kiri) bersama-sama kakitangan Monstr dan warga emas di PJNH.
Kakitangan Monstr Confectionery santuni warga emas
BERANANG – Lima belas kakitangan Monstr Confectionery Sdn Bhd telah dibawa menyertai Program Menyantuni dan Berbuka Puasa Bersama Warga Emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang, baru-baru ini.
Pengarahnya, Muhammad Khairul Mohamed Ali berkata, langkah itu sebagai menggalakkan kakitangan syarikat berkenaan untuk bersikap lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap masyarakat khusus warga emas dalam melahirkan sejahteraan dan keharmonian.
Katanya, dalam usaha yang masih muda mereka wajar didedahkan dengan program komuniti terutama membabitkan aktiviti kerja kebajikan termasuk bagaimana cara menguruskan warga emas yang tersisih serta uzur di samping merasai kepayahan kehidupan mereka.
“Langkah itu akan membawa ke arah membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan kakitangan syarikat apabila mereka nanti turut turun padang untuk mempromosikan produk keluaran syarikat kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
“Di pusat ini mereka berpeluang bertanya khabar dan menyantuni warga emas yang uzur serta memiliki pelbagai karenah kerana terlalu memerlukan layanan daripada seorang kawan bagi meluahkan perasaan selepas disisih ahli keluarga atau hidup sebatang kara.
Katanya, sebelum ini mereka hanya mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada pusat kebajikan seperti rumah anak yatim, keluarga miskin serta asnaf tanpa berpeluang menyantuni dengan lebih mesra seperti dilakukan di PJNH
Mohammad Khairul berkata, program itu juga diharap menjadi penggerak atau pembuka jalan kepada aktiviti kebajikan dengan pusat jagaan yang lebih tersusun dan berkesan serta membabitkan lebih dua ribu ejen syarikat itu di seluruh negara.
Katanya, sebagai syarikat berasaskan coklat dan bakeri serta sudah lima tahun berada di pasaran dalam negara dan dia ingin melahirkan budaya berniaga sambil beramal dalam kalangan semua ejen supaya dapat berkongsi rezeki.
“Alhamdulillah saya sendiri sudah sedia maklum ada ejen sudah melakukan kerja kebajikan sendiri di tempat masing-masing bagaimana program di PJNH ini akan menjadi pendorong utama kepada aktiviti kerja kebajikan dan amal untuk seterusnya,” kata beliau.-SAHIH.