KAKITANGAN KTM MAUT ELAK BABI MELINTAS
KAKITANGAN KTM MAUT ELAK BABI MELINTAS
Kota Bharu: Kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan di Jalan Salor Baru di sini, hari ini akibat mengelak seekor babi melintas.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Dozian Harun, 53, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang memandu Toyota Camry bersama anak lelakinya berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Kota Bharu untuk pulang ke rumah mereka di Tanah Merah.
“Tiba di lokasi, seekor babi tiba-tiba melintas di hadapan kenderaan dan pemandu cuba mengelak namun disebabkan jarak yang terlalu dekat, kereta yang dipandu hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudiannya melanggar peti pencawang elektrik dan pemandu parah di kepala akibat terhantuk di bahagian hadapan dalam kereta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, mangsa dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 pagi.
Menurutnya, anak lelaki mangsa hanya mengalami luka ringan pada bahagian kaki kanan dan dilaporkan stabil, lapor HM online
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.