KAKITANGAN KSM POSITIF COVID-19
Berita Nasional
KAKITANGAN KSM POSITIF COVID-19
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan seorang kakitangannya positif COVID-19.
KSM dalam satu kenyataan memaklumkan kakitangannya itu disahkan positif virus terbabit pada 4 Oktober lalu dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Langkah pencegahan segera diambil dengan mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kontak rapat dalam kalangan kakitangan KSM sudah menjalani saringan kesihatan dan menjalani proses kuarantin di rumah.
“Langkah proaktif seterusnya diambil dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran kementerian.
“Sebagai langkah tambahan, ujian calitan akan dilakukan ke atas pegawai KSM,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, berkuat kuasa serta-merta, semua program dan aktiviti KSM ditangguhkan sehingga 16 Oktober ini.
KSM akan terus memantau perkembangan terkini COVID-19 serta memperketatkan langkah pencegahan melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan wabak itu dapat dibendung.