KAKI TIGER WOODS DIMASUKKAN BESI
KAKI TIGER WOODS DIMASUKKAN BESI
LONDON: Pasukan perubatan selesai melakukan pembedahan ke atas Tiger Woods selepas bintang golf itu mengalami beberapa kecederaan patah kaki susulan kemalangan.
Batang besi dan beberapa skru serta pin dimasukkan selepas pemain golf Amerika Syarikat itu patah di beberapa bahagian selain buku lalinya yang hancur.
Woods sedang memandu untuk rakaman televisyen di Rancho Palos Verdes, Los Angeles pada jam 7 pagi waktu tempatan sebelum kenderaan utiliti sukan yang dipandunya menjunam masuk ke dalam gaung.
Ketua pegawai perubatan di Pusat Perubatan Harbor-UCLA, Dr Anish Mahajan mengesahkan perkembangan Woods menerusi satu kenyataan, hari ini.
“Mr Woods mengalami kecederaan ortopedik yang signifikan di bahagian bawah tubuh sebelah kanan dan sudah dirawat menerusi pembedahan kecemasan di pakar trauma ortopedik Pusat Perubatan Harbor-UCLA.
“Kecederaan patah yang menjejaskan kedua-dua bahagian atas dan bawah tulang tibia dan fibula sudah distabilkan menerusi rod yang dimasukkan ke tibia.
“Kecederaan lain di bahagian tulang kaki dan buku lali sudah distabilkan dengan kombinasi skru dan pin.”
Kenyataan sama turut memaklumkan Woods sudah sedar, memberi maklum balas dan sedang pulih selepas menjalani pembedahan itu.
Tidak diketahui berapa laju Woods memandu ketika kejadian itu, namun polis menyatakan kelajuan yang melebihi kadar normal.
Polis juga mengesahkan tiada bukti yang dia memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.