Kak Ros. 62. Tekad Jana Pendapatan Melalui TikTok
Kak Ros. 62. Tekad Jana Pendapatan Melalui TikTok
BENTONG – Seorang wanita berusia 62 tahun, Rosmawati Muhammad Noh atau lebih dikenali sebagai Kak Ros, nekad meneroka platform TikTok sebagai medium untuk menjana pendapatan setelah kehilangan suami tercinta.
Menurut Kak Ros, beliau mula berjinak-jinak dengan TikTok pada 29 Mei 2024 selepas berdepan dengan dugaan hidup yang berat. Pada mulanya, beliau mendapati banyak kandungan di TikTok yang tidak sesuai dengan minatnya, seperti tarian dan hiburan kurang berfaedah. Namun, selepas meneroka lebih jauh, beliau menemui pelbagai ilmu yang bermanfaat di platform tersebut.
“Saya mula buat ‘live’ pertama saya pada 2 Jun 2024. Ketika itu, saya sangat gugup dan tidak tahu cara bercakap dengan baik. Namun, saya terus belajar sendiri tanpa bantuan sesiapa,” katanya.
Pada waktu itu, Kak Ros masih bekerja sebagai tukang masak di kedai makan miliknya. Walaupun dalam tempoh edah, beliau tetap meneruskan perniagaan untuk mencari rezeki.
Selepas beberapa bulan berusaha, Kak Ros berjaya mencapai 10,000 pengikut pertamanya pada 25 Ogos 2024. Menyedari potensi besar TikTok sebagai platform perniagaan, beliau mula mencari mentor dan akhirnya berguru dengan Cikgu daripada Pasir Gudang serta Boski, individu terkenal dalam dunia TikTok.
“Saya bukan sekadar mahu mengumpul pengikut, tetapi ingin berkongsi ilmu bagaimana TikTok boleh menjadi sumber pendapatan. Ramai yang tidak tahu bahawa terdapat 18 jawatan dalam TikTok, antaranya sebagai ‘affiliate marketer’, pencipta kandungan (content creator), serta hos rasmi TikTok Malaysia,” jelasnya.
Menurutnya, pada bulan Disember 2024, beliau berjaya mencapai 20,000 pengikut dan kini mempunyai dua akaun TikTok—satu dengan 21,500 pengikut dan satu lagi sebagai akaun sandaran dengan lebih 1,000 pengikut.
“Tujuan saya bukan untuk mengejar populariti, tetapi untuk membantu lebih ramai orang, terutamanya ibu tunggal dan suri rumah, menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain,” katanya lagi.
Kini, Kak Ros mengadakan sesi kelas TikTok secara percuma setiap hari untuk mengajar asas penggunaan platform tersebut. Beliau juga telah menyertai kem latihan khas bersama pakar TikTok bagi memperluaskan lagi ilmu yang dimilikinya.
“Pendapatan saya melalui TikTok tidak tetap, tetapi secara purata, saya boleh memperoleh sekitar RM2,000 sebulan. Saya ingin membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk belajar dan berjaya di dunia digital,” katanya.
Kak Ros berharap lebih ramai masyarakat Melayu khususnya dapat memanfaatkan platform media sosial dengan cara yang berfaedah dan berilmu.-SAHIH