KAF sasar 100,000 ahli
KAF sasar 100,000 ahli
BENTONG – Golongan belia di tanah rancangan FELDA seluruh negara digalakkan menyertai aktiviti berpersatuan bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan dilakukan.
Buat masa ini, pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) sedang berusaha menarik pembabitan dan minat golongan muda dan belia untuk bersama-sama dalam agenda transformasi FELDA secara lebih sistematik.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, setiap tanah rancangan FELDA di Pahang sudah memiliki Pengerusi KAF masing-masing untuk menyelaras pendaftaran ahli baharu.
“Jadi saya menyeru agar semua golongan muda dan belia yang masih belum berdaftar dengan KAF, untuk mengambil peluang ini.
“Kita sasarkan 100,099 ahli yang terdiri daripada anak muda serta belia bersama-sama kita dalam KAF bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga peneroka terus diberi tumpuan,” katanya.
Amizar yang juga ADUN Pelangai berharap usaha meningkatkan kesedaran dan penambahan keahlian KAF dapat dijadikan keutamaan oleh warga peneroka generasi kedua dan ketiga.
Katanya, pelbagai aktiviti dan peluang untuk memajukan diri selain pelbagai latihan kemahiran boleh diikuti jika golongan ini menyertai KAF.
“Yang penting ialah kebersamaan antara warga peneroka dalam satu wadah untuk memudahkan mereka bergerak secara bersama.
“Sudah pasti menjadi impian dan harapan saya untuk melihat lebih ramai mengambil bahagian secara aktif untuk memajukan FELDA yang kita cintai ini.
“Selain itu, melalui pembabitan dalam KAF juga, bermacam-macam aktiviti, peluang, latihan, penyebaran maklumat dapat diselaraskan dengan lebih berkesan dan menyenangkan semua pihak,” jelasnya. – SAHIH