KAF bantu tingkat jati diri saya – Amizar
KAF bantu tingkat jati diri saya – Amizar
KUANTAN – Sejak menyertai badan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk menjaga kebajikan warga peneroka, Datuk Amizar Abu Adam banyak belajar selok belok dalam membina hubungan baik antara mereka.
Kami Anak FELDA (KAF) bukan setakat memberi perhatian kepada kebajikan semata-mata, tapi turut memperjuangkan hak peneroka FELDA di seluruh negara.
Beliau yang sudah bersama KAF sejak kira-kira 15 tahun lalu, sudah memahami kehendak dan suara hati warga peneroka, terutamanya generasi kedua dan ketiga FELDA.
“Isu FELDA itu sendiri banyak yang perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati.
“Paling utama ialah perjuangan untuk projek perumahan generasi kedua atau ketiga di FELDA yang paling mendesak.
“Begitu juga dengan fasiliti di kawasan tanah rancangan seperti rangkaian jalan raya lebih efisien dan peluang ekonomi yang lebih terbuka untuk penduduk FELDA serta kampung tradisional di Pelangai,” katanya.
Amizar adalah anak jati FELDA Chemomoi, Bentong.
Beliau kini adalah pengerusi biro ekonomi dan pembangunan usahawan KAF.
Ketika pandemik COVID-19 melanda negara, Amizar adalah antara watak penting yang menyalurkan pelbagai bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk di tanah rancangan FELDA sekitar Bentong.
Beliau memiliki visi yang jelas untuk melihat kawasan Simpang Pelangai menjadi tumpuan dan membangun seperti pekan sekitar.
“Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sudah mempunyai ‘blue print’ yang sangat lengkap untuk membangunkan kawasan ini.
“Usaha itu perlu diteruskan untuk kebaikan penduduk di sini supaya mereka mendapat berkongsi limpahan ekonomi yang akan mengalir di Simpang Pelangai,” katanya.
Allahyarham Johari melancarkan pelan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pelangai pada Mei lalu.
RKK itu bertujuan meletakkan jenama Simpang Pelangai setaraf dengan pekan Karak, Bentong dan Triang, Bera. – SAHIH