Kad Kesihatan Kasih Makmur 2024 diagih untuk penduduk Pelangai
Kad Kesihatan Kasih Makmur 2024 diagih untuk penduduk Pelangai
BENTONG – Seramai 467 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai menerima kad kesihatan Kasih Makmur.
Kad kesihatan itu adalah antara inisiatif kerajaan Pahang dalam mensejahterakan rakyat, terutamanya golongan warga emas.
Penyampaian kad kesihatan bagi DUN Pelangai dilakukan oleh Datuk Amizar Abu Adam di Dewan Orang Ramai Agropolitan Chemomoi, dekat sini.
“Melalui kad kesihatan Kasih Makmur, warga emas dan OKU akan menikmati kemudahan rawatan kesihatan di klinik swasta dengan peruntukan RM500 setahun.
“Sudah tentu ia akan membantu mempercepatkan proses rawatan untuk kumpulan sasar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amizar yang ADUN Pelangai menjelaskan kad kesihatan Kasih Makmur itu diperkenalkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak tahun 2022 lagi.
“Sehingga kini, lebih 30,000 penerima yang menikmati manfaat melalui bantuan ini.
“Beberapa cadangan tambah baik juga sedang dilakukan antaranya klinik bergerak bertemu rakyat dan beberapa ubat-ubatan yang boleh diambil oleh pemegang kad ini yang akan memberi makna yang besar kepada mereka,” katanya.
Amizar dalam masa sama merakam ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu menyelaras bantuan Kasih Makmur untuk DUN Pelangai dan seluruh Pahang. – SAHIH