KABINET BAHARU PERLU TEKAN BUDAYA KERJA BERPRESTASI TINGGI
KABINET BAHARU PERLU TEKAN BUDAYA KERJA BERPRESTASI TINGGI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan pastikan kabinet baharu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan setiap kementerian segera membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang dengan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh 100 hari pertama.
Beliau yang mengumumkan pelantikan kabinet baharu, memastikan barisan kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
“Semua yang dilantik dengan kementerian masing-masing perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.
“Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,” katanya melalui kenyataan rasmi yang disiarkan, hari ini.
Katanya, pembentukan kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.
“Gabungan yang dipilih daripada mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur
“Pelantikan barisan baharu ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini,”katanya.
Katanya, kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu, peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah dan mengembalikan semula keyakinan rakyat
“Semasa menghadapi situasi getir akibat pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara, kita akan hidup bersama COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
“Kemunculan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif walaupun mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID19, maka kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini,” katanya.
Katanya, selain itu hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.
“Realitinya, kita masih berhadapan dengan cabaran dan rintangan, saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana Yang Maha Esa tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan.
“Selain itu barisan kabinet saya tidak boleh bekerja bersendirian, kami memerlukan dukungan dan sokongan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia untuk menjayakannya,” katanya sebelum mengumumkan barisan kabinet baharu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia Isnin ini jam 2.30 petang sehari sebelum negara menyambut Hari Kebangsaan. -SAHIH