JURUTERA ‘SAMPAH’ MOHON MAAF
JURUTERA ‘SAMPAH’ MOHON MAAF
KUALA LUMPUR: Kerana mulut badan binasa, seorang jurutera kanan Projek Lintasan Sungai Besi – Ulu Klang Sdn Bhd (PROLINTAS) memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan mengecam Harian Metro dan wartawannya sebagai sampah.
Dia yang dikenali Ir Dr Zarulazam Eusofe menerusi Twitter melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada semua pengamal media.
GAMBAR HIASAN
“Kepada rakan-rakan editor dan wartawan yang tersinggung dengan tweet yang dibuat, saya rendah diri memohon maaf dan kesal perkara yang berlaku.
“Ianya berlaku di atas kelemahan saya sendiri,” katanya.
Terdahulu, kecaman sampah yang dibuat Zarulazam itu ketika berkongsi ciapan di Twitter Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin berhubung laporan tentang kematian seorang jururawat Hospital Pulau Pinang yang meninggal dunia, baru-baru ini.
“Well done @Khairykj.. wartawan & akhbar sampah mcm ni wajar diajar,” tulisnya dalam ciapan tersebut.
Ciapan tersebut kemudiannya menjadi tular dalam kalangan pengamal media.
Malah ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati di atas keterlanjuran dan kebiadapan dia.