Jurutera maut kereta bertembung treler
Jurutera maut kereta bertembung treler
LIPIS – Seorang jurutera projek maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 30, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Mohd Ghazali, 34, dari Taman Kenali, Kubang Kerian, Kelantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Volkswagen Jetta 1.4 (A) yang dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Kelantan bertembung dengan sebuah treler di laluan bertentangan.
“Treler terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dari Kelantan yang dalam perjalanan menghantar muatan kayu ke Selangor.
“Akibat pertembungan itu, treler berkenaan turut bergesel dengan dua lagi kereta yang turut dalam konvoi sama. Bagaimanapun, dua lagi pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati cuaca ketika kejadian adalah baik dan laluan jalan satu lorong dua hala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis memohon saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutamanya pada waktu malam dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat serta diselenggara dengan baik.
“Pihak IPD Lipis mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.-SAHIH