JURURAWAT DAKWA TURUT JADI MANGSA USTAZ JADIAN
KUALA LUMPUR: Jururawat swasta berusia 26 tahun tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan kes seksual membabitkan seorang bekas peserta rancangan realiti berbentuk keagamaan.
Wanita yang bekerja di Kuala Lumpur itu mendakwa menjadi mangsa pada Disember tahun lalu selepas mula berkenalan dengan suspek pada Mac 2018.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata susulan laporan dibuat wanita itu semalam, setakat ini pihaknya telah menerima sembilan laporan dan masih lagi menjalankan siasatan dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.
“Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat yang diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Ditanya modus operandi suspek, Noor Azam berkata, mangsa dan suspek berkenalan di media sosial sebelum berpura-pura mengajak mangsa keluar makan hingga dibawa pulang ke rumahnya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini masih dalam perintah reman sehingga Jumaat.
Semalam, suspek direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.