Juru kimpal kena ‘love scam’ rugi RM183,600
Juru kimpal kena ‘love scam’ rugi RM183,600
SEORANG juru kimpal menjadi mangsa ‘love scam’ sejak Januari lalu hingga mengalami kerugian RM183,600.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 55 tahun menetap di sekitar Kuantan, mengenali suspek melalui laman sosial Facebook dan bercadang berkahwin dengan suspek.
“Mangsa berstatus duda dan berkenal dengan suspek melalui Facebook, suspek dipercayai menyamar sebagai perempuan Melayu dan menggoda mangsa.
“Selepas berkenalan untuk beberapa ketika, mangsa dan suspek bersetuju untuk berkahwin.
“Sejak Februari lalu, mangsa sudah memindahkan sejumlah wang ke nombor akaun diberikan suspek kononnya untuk persiapan majlis perkahwinan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ramli memaklumkan, mangsa menggunakan wang simpanannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membuat pinjaman peribadi bagi memenuhi permintaan suspek.
Katanya, jumlah pindahan wang dilakukan mangsa adalah 10 kali ke dua nombor akaun diberikan suspek, dengan nilai keseluruhan RM183,600.
“Mangsa mendakwa suspek masih meminta RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara,” katanya.
Satu laporan polis sudah dibuat mangsa di balai polis Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
tamat-SAHIH