JUNTA MYANMAR POTONG INTERNET SEKALI LAGI
JUNTA MYANMAR POTONG INTERNET SEKALI LAGI
YANGON: Myanmar memotong khidmat internet dan mengerahkan pasukan tentera ke merata negara itu hari ini sebagai tindak balas terhadap rampasan kuasa tentera, beberapa jam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan untuk menyuraikan bantahan di bahagian utara negara itu.
Pihak tentera juga bertindak tegas untuk melenturkan kempen yang menggesa supaya pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dibebaskan.
Khidmat internet ditutup sejurus selepas imej dari khidmat penstriman dikongsi di platform media sosial yang menunjukkan kenderaan tentera dan askar melakukan rondaan di beberapa kawasan di negara itu.
Menurut kumpulan pemerhati Netblocks, sekatan maklumat melumpuhkan hampir seluruh Myanmar.
Bagaimanapun, Netblocks kemudiannya memaklumkan sambungan internet di Myanmar kembali pulih.
“Akses internet dipulihkan di #Myanmar dari 9 pagi waktu tempatan; data rangkaian menunjukkan penyambungan akses meningkat ke tahap biasa selepas sekatan maklumat; media sosial masih terhad untuk kebanyakan pengguna; tempoh kejadian – 8 jam,” kata badan pengawasan itu dalam satu kemas kini.
Sementara itu, pasukan tentera di Myitkyina melepaskan gas pemedih mata dan kemudian melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul susulan khabar angin yang mendakwa bekalan elektrik akan dihentikan.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Seorang wartawan yang berada di tempat kejadian berkata, masih belum jelas sama ada polis menggunakan peluru getah atau peluru hidup.
Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima wartawan yang membuat liputan tunjuk perasaan itu sudah ditahan dan mereka sudah menerbitkan gambar beberapa orang yang cedera dalam kejadian terbabit.
Kenyataan bersama dari duta besar Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa pasukan keselamatan Myanmar supaya jangan mencederakan orang awam.
“Kami menggesa pasukan keselamatan supaya jangan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang membantah tindakan tentera menggulingkan pemerintah mereka yang sah,” menurut kenyataan terbabit.
Kedutaan AS turut menasihati rakyatnya supaya mendapatkan perlindungan di tempat yang selamat dan tidak mengambil risiko dengan mengingkari perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh pihak tentera, lapor Agensi.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Andrews, berkata usaha junta untuk menangani tunjuk perasaan di negara itu adalah petanda yang menunjukkan keadaan terdesak dan diibaratkan seperti pengisytiharan perang terhadap rakyatnya sendiri.
“Perhatian kepada jeneral: Anda AKAN dipertanggungjawabkan,” tulisnya di Twitter.