JUAL RUSA BINTIK PATUH AKTA 716
JUAL RUSA BINTIK PATUH AKTA 716
PENJUALAN HAIWAN ITU SEBAGAI LANGKAH PENGURANGAN KOS
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyangkal laporan akhbar Free Malaysia Today pada 4 Februari 2021 mengenai penjualan Rusa Bintik (Rusa Axis) menyalahi peraturan.
Menurut PERHILITAN, Rusa Bintik adalah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi di bawah Akta 716, maka penjualan haiwan itu oleh Zoo Negara tidak tertakluk kepada Akta 716.
Pengurusan Zoo Negara, bekalan harus dilaksana, berikutan jumlah rusa bintik sedia ada di Zoo Negara yang sudah ada 50 ekor dan melebihi keperluan.
“Penjualan kepada syarikat swasta sebagai langkah untuk mengurangkan kos pengurusan terutama ketika menghadapi situasi pandemik COVID-19,” kata PERHILITAN dalam kenyataan, hari ini.
PERHILITAN berkata Zoo Negara beroperasi sebagai entiti perniagaan yang diuruskan Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS) dan diberikan permit pengendalian zoo mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Zoo Negara perlu mendapatkan lesen atau permit khas daripada PERHILITAN bagi penjualan atau pembelian mana-mana spesies hidupan liar mengikut Akta 716.
“Bagaimanapun, penjualan rusa bintik ialah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi mengikut Akta 716, justeru penjualan haiwan berkenaan tidak tertakluk kepada Akta 716,” katanya.