JUAL BURGER DEPAN RUMAH DIKOMPAUN RM50,000
JUAL BURGER DEPAN RUMAH DIKOMPAUN RM50,000
PETALING JAYA: Seorang peniaga burger yang beroperasi di depan rumahnya terkejut apabila dikompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, berkata dia didatangi lima pegawai polis kira-kira 11 malam tadi ketika menyiapkan tempahan untuk dihantar kepada pelanggan sekitar rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan.
“Ketika polis datang tiada pelanggan, saya sedang siapkan tempahan untuk dihantar rumah ke rumah dan kepada penduduk yang datang ambil sendiri. Sejak PKP, kami berniaga depan rumah, hanya untuk bungkus saja.
“Kami tidak benar pelanggan makan di sini sebab tidak mahu berlaku pelanggaran SOP. Sejujurnya, saya terkilan. Jumlah kompaun dikenakan terlalu tinggi RM50,000, ia tidak munasabah,” katanya kepada FMT.
Faisal berkata, dia hanya memperoleh pendapatan dengan berniaga burger dan pihak berkuasa sepatutnya memberi amaran terlebih dahulu.
“Saya boleh terima kalau pelanggan datang bersesak dan langgar SOP penjarakan fizikal, tapi masa polis datang pelanggan tiada,” katanya yang berniaga sejak 16 tahun lalu.
Katanya, pegawai polis itu memaklumkan mereka terpaksa mengambil tindakan kerana terdapat aduan dibuat.
“Pegawai polis itu juga memaklumkan, mereka hanya tulis jumlah RM50,000 tapi boleh merayu dan hanya RM1,000 perlu dibayar,” katanya.
Faizal berkata, dia terpaksa mengambil tempahan melebihi jam 10 malam memandangkan waktu berniaga yang terhad sepanjang Ramadan.
“Ketika berbuka orang tak makan burger, kebanyakan pelanggan kami selepas jam 9 malam mereka datang tempah,” katanya.
Kompaun dikenakan itu adalah kes berulang apabila kali pertama dia dikompaun RM1,000 pada Januari lalu atas kesalahan sama.
“Saya merayu jumlah kompaun ini dikurangkan, kerana terlalu besar buat saya yang berniaga burger. Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) ada menghubungi dan memaklumkan saya boleh membuat rayuan, jumlah itu juga masih boleh dikurangkan,” katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada polis berhubung kejadian.
“Kita akan mendapatkan penjelasan yang sebenar terlebih dahulu,” katanya.