JTDLKM bantu peneroka jimat belanja dapur
JTDLKM bantu peneroka jimat belanja dapur
JERANTUT: Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) melegakan kira-kira lima ribu penduduk di FELDA Kota Gelanggi Satu dan Tiga kerana dapat membeli barangan harian dan keperluan asas dengan lebih murah.
Malah, penduduk dua tanah rancangan terbabit bertuah apabila Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris menaja RM9 untuk satu kilogram daging lembu dan RM1 setiap kilogram ayam yang dijual di JTDLKM, hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban peneroka khususnya yang mempunyai anak ramai.
“Kerajaan berharap program seperti ini dapat membantu ketua keluarga berbelanja dengan lebih jimat kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah,” katanya selepas melancarkan Program JTDLKM di pekan sehari FELDA Kota Gelanggi Satu dan Tiga.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang (Operasi), Shabudin Mohd Nor.
Ahmad Nazlan berharap FAMA dapat mengadakan lebih banyak program JTDL di kawasan luar bandar dan FELDA untuk memberi peluang kepada golongan itu menikmati barangan keperluan dengan harga lebih murah.
Sumber – Fikrah Pahang.