JPM dan PUNB santuni penduduk Ulu Tembeling, Jerantut
JPM dan PUNB santuni penduduk Ulu Tembeling, Jerantut
JERANTUT – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menjalankan Program ziarah berkonsepkan Keluarga Malaysia menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama tiga hari di kawasan Hulu Tembeling berakhir di Taman Negara Kuala Tahan hari ini.
Kampung yang terlibat dalam program itu ialah Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat, penempatan Orang Asli etnik Bateq Kampung Bengoi dan Kuala Tahan
Program itu turut disertai seramai 50 orang pegawai serta kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan lawatan di perkampungan yang terletak di pesisir Sungai Tembeling daerah ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohammad Ismail berkata, lawatan itu antara misi JPM dan PUNB membawa mesej prihatin dengan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) turun ke akar umbi bagi meninjau keadaan kehidupan mereka di kawasan itu di samping menyampaikan maklumat dasar kerajaan
“Lawatan pertama kali dari bahagian pengurusan JPM ini cukup bermakna kerana memperoleh informasi mengenai pembangunan di Ulu Tembeling selain dapat mendengar keluhan serta rintihan penduduk di sini mengenai pelbagai isu berkaitan pembangunan.
“Kita berpuas hati kerana pembangunan semakin rancak di Ulu Tembeling, Jerantut khususnya pelbagai kemudahan daripada kerajaan sendiri bagi menjana sektor ekonomi khususnya ekopelancongan dan pertanian antara penyumbang utama pendapatan penduduk di sini,” katanya kepada media selepas mengetuai program CSR JPM dengan kerjasama PUNB di Kampung Kuala Sat, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Sempena program lawatan itu, Mohammad dan Ahmad Nazlan turut menyampaikan sumbangan pakaian seragam sekolah dan beg kepada 25 orang murid serta barang keperluan dapur kepada 33 orang ketua isi rumah (KIR) Orang Asli etnik Bateq sumbangan PUNB dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Sebelum itu, sumbangan yang sama, iaitu replika cek bernilai RM3,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK), masjid dan Persatuan Ibu Bapa Guru di tiga buah kampung, iaitu Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Kuala Sat untuk tujuan pengurusan peringkat kampung dan sekolah berkenaan.
Katanya, beliau berkata, JPM juga berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dengan segala usaha menerusi program pembangunan modal insan apabila penduduk Ulu Tembeling termasuk Orang Asli etnik Bateq memanfaatkan peluang pendidikan serta usaha dakwah Islamiah.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan berkata, PUNB akan terus memantau kebajikan penduduk Orang etnik Bateq Kampung Bengoi dan Kampung Sungai Kucing khususnya bidang pendidikan dan dakwah Islamiah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Jakim dan MUIP.
“Amal jariah PUNB untuk penduduk minoriti etnik Bateq yang beragama Islam antara sebahagian program CSR kami termasuklah bantuan kepada golongan yang memerlukan di beberapa tempat di negara ini yang sudah dan telah pihak pengurusan kami (PUNB) kenalpasti,” ujarnya.
“Kehadiran pegawai serta kaki tangan Bahagian Pengurusann JPM yang diketuai oleh Datuk Mohammad Ismail cukup bermakna khususnya mendalami ruang lingkup pembangunan di Ulu Tembeling dalam usaha mencongak menerusi perancangan kemudahan yang sama pada masa akan datang,” katanya.-SAHIH.