JPKK seluruh negara bakal laksana program urus dana kerajaan
JPKK seluruh negara bakal laksana program urus dana kerajaan
LIPIS – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negara akan melaksanakan lebih banyak Program Integriti dan Tadbir Urus Dana Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan turut memfokuskan kepada modul-modul berkaitan integriti dan tadbir urus dana kerajaan bagi memastikan JPKK yang dilantik memahami tatacara dan prosedur dalam pengendalian dana awam.
“Semua JPKK yang dilantik akan menjalani kursus di INFRA dengan mengikuti beberapa modul asas seperti kepimpinan dan pengurusan kampung, keusahawanan, teknologi maklumat dan inap desa.
“Dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi memastikan kepekaan dan kesedaran JPKK dalam mengendalikan pengurusan dana awam kerajaan selain mengelakkan ketirisan dengan penuh integrity, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kempen Penanaman 100 juta pokok di sekitar Bandar Lipis hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.
“Pihak kami dimaklumkan berkaitan aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan JPKK Negeri Pahang yang disiarkan dalam beberapa portal berita baru-baru ini.
“Daripada jumlah itu satu kes telah dituduh di mahkamah, dua kes masih dalam siasatan, lima kes menerima surat untuk memperbaiki kelemahan prosedur JPKK, manakala 13 kes tiada tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, laporan itu turut memetik perangkaan dari Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Nor yang menyatakan SPRM menerima sejumlah 21 maklumat dan aduan melibatkan JPKK Negeri Pahang dalam tempoh lima tahun bermula 2018 yang merangkumi 14 maklumat salah guna kuasa, enam menerima rasuah dan satu tuntutan palsu.
“Bagi merealisasikan pelaksanaannya, seramai 15,434 JPKK seluruh negara akan dibekalkan pelbagai maklumat terkini dan sahih daripada kerajaan selain menyalurkan maklumat berkaitan bantuan dan dana yang disediakan oleh kerajaan dalam membangunkan komuniti kampung masing-masing.
“Sewajarnya JPKK yang menjadi barisan hadapan dalam komuniti diharap senantiasa menitik beratkan aspek integriti dan tadbir urus yang baik dalam memastikan penyaluran dana kerajaan menerusi bantuan dan projek-projek luar bandar dapat dimanfaatkan oleh penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.-SAHIH.