JPJ DAPAT KETUA PENGARAH BAHARU
KUALA LUMPUR: Datuk Zailani Hashim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang baharu berkuat kuasa, semalam.
Menurut kenyataan JPJ hari ini, Zailani berpengalaman luas bertugas di pelbagai kementerian dan agensi perkhidmatan awam serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
DATUK ZAILANI HASHIM
Katanya, beliau juga berpengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pernah menjawat jawatan pegawai integriti dengan pengalaman bertugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Warga JPJ menzahirkan ucapan tahniah kepada Zailani atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah JPJ dan mengalu-alukan pelantikan beliau bagi menerajui jabatan ini.
“Warga cemerlang JPJ juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman) atas pelantikan ini,” demikian menurut kenyataan itu, seperti dilapor Bernama.
JPJ juga yakin pelantikan itu akan terus memacu kecemerlangan jabatan tersebut dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini.