JOSIAH NG BERALIH ARAH SUKAN BERMOTOR
JOSIAH NG BERALIH ARAH SUKAN BERMOTOR
KUALA LUMPUR: Bekas jaguh basikal trek negara, Josiah Ng kini memegang tanggungjawab membantu meningkatkan tahap keupayaan fizikal dan mental buat pelumba Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim ini.
Josiah yang pernah mewakili negara dalam acara sukan berbasikal trek sebanyak tiga kali di Sukan Olimpik – Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012 – memikul tugas sebagai jurulatih prestasi untuk pelumba pelapis dua roda SIC di bawah syarikat Sports Empowered Sdn Bhd.
“Sports Empowered menyambut baik untuk menjadi rakan kejurulatihan prestasi untuk bakat SIC,” kata Josiah.
“Saya begitu teruja untuk membantu pelumba mencapai kemuncak fizikal dan mental bagi menghadapi kejuaraan musim ini.”
Untuk rekod, Josiah mempunyai pengalaman luas di pentas dunia apabila pernah meraih pingat perak di Sukan Asia masing-masing dalam acara keirin di Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Doha 2006.
Bekas pelumba basikal yang kini berusia 41 tahun itu juga pernah meraih pingat sama dalam acara pecut di Sukan Asia Busan 2002 dan gangsa (keirin) di Incheon 2014.
Selain itu, Josiah turut pernah meraih tiga pingat emas di Kejohanan Asia New Delhi 2013 (acara pecut dan keirin) dan Kuala Lumpur 2012 (keirin).
Sebelum ini, Josiah melatih skuad pecut Thailand dan memainkan peranan besar dalam melonjakkan Jai Angsuthasawit muncul juara acara keirin di Sukan Asia 2018.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pengalaman dimiliki Josiah bakal menjadi ramuan penting bagi membantu pelumba pelapis ini untuk lebih menyinar dalam kejohanan yang bakal disertai nanti, lapor BH Online.
“Pengalaman dan pengetahuannya adalah satu ramuan penting buat pelumba bakat kami dan (bagi melahirkan) juara di masa depan. Saya berharap pelumba bakat dapat meraih lebih kecemerlangan bagi berada dalam kedudukan teratas di kejohanan disertai dan membuatkan Malaysia berbangga,” kata Azhan.
Pelumba bakat SIC mempunyai tugasan di peringkat Kejuaraan CEV iaitu di Kejuaraan Moto2 Eropah, Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia dan European Talent Cup (ETC) selain di Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) bagi musim 2021.
Adam Norrodin mengepalai kontinjen SIC di CEV dengan menyertai saingan Moto2 manakala Syarifuddin Azman menyertai saingan Moto3.
Sharul Ezwan Sharil mewakili SIC di pentas ETC manakala untuk saingan ATC, Sharul Ezwan bakal bergandingan bersama Danial Syahmi Ahmad Shahril dan juara sulung SIC MiniGP dalam kelas 160cc, Muhammad Hakim Danish Ramli.
Dalam pada itu, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang diberi tanggungjawab mengasah bakat pelumba ini berkata, dia teruja untuk bekerjasama dengan Josiah dan yakin pelumba akan dapat meraih musim yang baik di CEV dan ATC.
“Pelumba sangat bermotivasi dan bersedia untuk berada di puncak. Kami mengharapkan satu musim yang lebih baik pada 2021 dan berharap kami dapat mencapai sasaran diletakkan tahun ini,” kata Zulfahmi.