JOM MASAK BUBUR LAMBUK PERPADUAN MERIAHKAN LIPIS
JOM MASAK BUBUR LAMBUK PERPADUAN MERIAHKAN LIPIS
LIPIS – Program Gerak Rahmah 2025 “Jom Masak Bubur Lambuk” peringkat Negeri Pahang berlangsung meriah di daerah ini semalam, menandakan kali pertama ia dianjurkan di Lipis selepas sebelum ini diadakan di Temerloh.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disertai lebih 400 peserta daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, dan India.
Program tahunan ini merupakan inisiatif perpaduan yang dijalankan di peringkat daerah dengan kerjasama Rukun Tetangga setempat.
Sebanyak 15 periuk bubur dimasak oleh peserta, dengan variasi bubur lambuk, bubur manis, bubur vegetarian, dan juga bubur unik dari Pahang dikenali sebagai Bubur Lior. Bubur vegetarian khas disediakan bagi memastikan semua kaum, termasuk mereka yang tidak mengambil daging, dapat menikmati juadah tersebut.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pertama, Fairul Alimi, berkata program ini bukan sekadar acara memasak tetapi satu platform menyatukan masyarakat berbilang kaum.
“Ini kali pertama Lipis menjadi tuan rumah, dan kami amat bersyukur melihat sambutan yang menggalakkan. Semua peserta berganding bahu mengacau bubur, menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi,” katanya.
Salah seorang peserta dari kaum India, N. Nagarajan, 68, yang juga Pengerusi Kuil Sri Sivan Padang Tengku, mengakui teruja menyertai program tersebut.
“Saya pernah terlibat dalam acara memasak sebelum ini, tetapi ini kali pertama dalam program perpaduan seperti ini. Walaupun penat, saya seronok dapat bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia mengeratkan hubungan antara masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Kerajaan Negeri Pahang. Selain memasak bubur, program ini turut dimeriahkan dengan sesi agihan bubur kepada penduduk sekitar.-SAHIH