JHEAINS URUS 139 JENAZAH PESAKIT COVID-19
JHEAINS URUS 139 JENAZAH PESAKIT COVID-19
SEREMBAN: Sebanyak 139 jenazah pesakit Covid-19 di Negeri Sembilan telah diuruskan oleh pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, jumlah tersebut adalah sejak awal tahun lalu sehingga ke hari ini.
“Setakat pukul 11.20 pagi hari ini, sejumlah 139 jenazah Covid-19 muslim yang telah diuruskan oleh JHEAINS.
“Berlaku peningkatan kematian dan jenazah yang diuruskan oleh pihak kami kebelakangan ini terutama selepas sambutan Aidilfitri lalu, sehinggakan kami pernah menguruskan lapan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 dalam satu hari,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd Zaidi berkata, anggota Tajhiz JHEAINS lengkap dengan pakaian perlindungan peribadi (PPE) akan menguruskan jenazah bermula di bahagian forensik hospital sehingga proses mengkafan, menyembahyang serta memasukkan jenazah ke dalam keranda dan kenderaan.
Ketika proses pengebumian pula, anggota Tajhiz JHEAINS lain akan ditugaskan memastikan liang kubur disediakan dan sesuai dengan saiz jenazah serta menurunkan jenazah dan mengambus tanah.
Sementara itu, seorang petugas Tajhiz JHEAINS, Wan Mohd. Husni Abdullah, 40, berkata, dua pasukan akan bersedia untuk menguruskan jenazah Covid-19 Muslim di seluruh negeri ini, lapor Utusan Online.
“Memang betul, berlaku peningkatan jenazah yang kami uruskan sejak awal bulan Syawal ini. Pasukan kami sentiasa bersedia, siang mahupun tengah malam.
“Walaupun perlu menguruskan jenazah berturut-turut, Alhamdulillah keadaan kami masih lagi baik bagi menyumbangkan khidmat dan tugas fardu kifayah ini,” katanya.