JERMAN GAGAL LAGI KUTIP 3 MATA
Berita Sukan
JERMAN GAGAL LAGI KUTIP 3 MATA
COLOGNE: Pengendali Jerman, Joachim Loew semakin tertekan selepas deretan keputusan mengecewakan berterusan apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Switzerland 3-3.
Jerman seri empat daripada lima perlawanan terakhir mereka – mendahului permainan dalam tiga perlawanan – dan kini di tangga kedua kumpulan Liga Negara-Negara di belakang Sepanyol.
Mereka menewaskan Ukraine 2-1 di Kiev Sabtu lalu selepas seri 3-3 dalam aksi persahabatan menentang Turki pada Rabu, anak buah Loew sekali lagi mempamerkan kelemahan di benteng pertahahan.
“Sudah tentu, apabila anda dibolosi tiga gol, pertahanan tidak bagus,” kata Toni Kroos, yang menjadi punca kepada gol kedua Switzerland, selepas penampilan ke-100nya untuk Jerman.
Loew, 60, mempunyai kontrak dengan Persatuan Bolasepak Jerman sehingga Piala Dunia 2022.
Bagaimanapun popularitinya semakin merosot, dari kejayaan memenangi Piala Dunia 2014, sehingga kepada kegagalan mereka melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 di Russia.
Keputusan seri dengan Switzerland menambah tekanan ke atas Loew yang dikritik hebat nama besar bola sepak Jerman seperti Lothar Matthaeus dan Bastian Schweinsteiger.
Penyerang Dinamo Zagreb, Mario Gavranovic meledak dua gol dan satu oleh Remo Freuler, ketiga-tiganya hasil kesilapan Jerman.
Jaringan Jerman dihasilkan Timo Werner, rakan sepasukannya di Chelsea Kai Havertz dan Serge Gnabry.
Sumber: AFP