Jerantut Mampu Jadi Hub Ekopelancongan
Jerantut Mampu Jadi Hub Ekopelancongan
JERANTUT – Keunikan dimiliki daerah Jerantut belum diteroka dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Memiliki kawasan Taman Negara yang sangat disukai pelancong dari dalam dan luar negara, potensi sebenar produk pelancongan di daerah ini belum diteroka sebaik mungkin.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, antara agenda diberi perhatian olehnya adalah memastikan jenama Taman Negara itu terus segar.
“Kita ada banyak kawasan dan produk menarik di Jerantut selain Taman Negara, jadi perlu ada usaha untuk memasarkan semua produk ini kepada dunia.
“Macam Taman Negara itu tidak mengapalah, sudah lama dan ramai orang tahu, tapi mereka belum didedahkan dengan kawasan pergunungan yang ada di sini.
“Begitu juga dengan kehebatan masakan tradisional di Jerantut, sudah sekian lama jadi buah mulut orang luar berkunjung ke sini dan setiap produk yang ada memiliki potensi untuk dikomersialkan,” katanya.
Haris Salleh yang merupakan seorang peguam professional menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan yang dijadualkan esok.
Beliau akan bersaing dengan tiga lagi individu yang tidak kurang hebatnya, Ahmad Murad Mat Hassim @Idris; Adzlan Zakaria; Mohd Taufek Abd Razak.
“Saya mempunyai visi untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk di Jerantut dan sekali gus dapat membantu juga ahli UMNO di sini.
“Peluang dan potensi ekonomi memang banyak, tinggal lagi untuk kita teroka dan kongsi bersama.
“Jadi, saya harap diberi peluang dan dipilih sebagai ketua UMNO Bahagian Jerantut untuk memudahkan segala perancangan dilaksanakan,” katanya.-SAHIH
tamat