Jentera UMNO Jerantut terima kunjungan KIMMA Johor
Jentera UMNO Jerantut terima kunjungan KIMMA Johor
KLUANG – Sejak hari penamaan calon, hampir 100 petugas dari UMNO Bahagian Jerantut, Pahang berkampung di Kluang, Johor.
Ia adalah bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Antara pusat daerah mengundi (PDM) yang diamanahkan jentera UMNO Bahagian Jerantut adalah PDM Jalan Hospital, PDM Taman Berlian selain PDM Dorset.
Petugas daripada Pemuda, Puteri dan Wanita dari Jerantut juga diberi peranan membantu Jalinan Rakyat (JR) UMNO Johor menyantuni pengundi di kawasan itu.
Ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud turut berkesempatan bersama jentera dari Bahagian itu berkempen di Kluang dengan bertemu dengan pengundi di sekitar Mahkota.
“Selain membantu gerak kerja jentera UMNO dan BN berkempen, kami juga mengambil peluang untuk berkenalan dengan petugas daripada parti komponen BN yang turut sama berkampung di sini,” katanya.
Terdahulu, Razak bersama jentera UMNO Bahagian Jerantut menerima kunjungan daripada wakil Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Johor ketika berada di PDM Dorset.
Pertemuan ringkas itu sempat membincangkan strategi mendekati kira-kira 66,000 pengundi di Mahkota dalam usaha memastikan Syed Hussien menang pada 28 September ini.
“Gerak kerja sedia ada sudah dilaksanakan sebaik mungkin dan kita harap strategi kempen pada minggu terakhir ini akan memberi kelebihan kepada calon BN, Syed Hussien,” jelasnya. – SAHIH