Jentera Pemuda Pahang Cemerlang, UMNO Jerantut Kukuh Di Bawah Kepimpinan Wan Rosdy dan Haris Salleh
Jentera Pemuda Pahang Cemerlang, UMNO Jerantut Kukuh Di Bawah Kepimpinan Wan Rosdy dan Haris Salleh
BIDOR – Jentera Pemuda UMNO Pahang berjaya menampilkan prestasi luar biasa sepanjang tempoh 14 hari sepanjang berkempen , membuktikan kekuatan dan kesatuan dalam parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, beliau sendiri yang turut bersama dalam misi berkenaan menyaksikan kecekapan jentera Pemuda yang berkempen secara tersusun dan mematuhi segala peraturan.
“Jentera Pemuda bekerja dengan sangat cemerlang. Mereka bergerak penuh disiplin, teratur, dan bersemangat tinggi demi memastikan kemenangan parti,” katanya ketika ditemui.
Menurut Razak, kejayaan ini adalah hasil bimbingan dan tunjuk ajar Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, selain kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh yang sentiasa memberi sokongan penuh di peringkat akar umbi.
“Kita lihat kesungguhan jentera ini sebagai satu manifestasi keberkesanan kepimpinan di negeri dan bahagian. Ia membuktikan UMNO Jerantut berada dalam landasan yang sangat kukuh,” tambahnya.
Beliau berkata, semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan sepanjang kempen itu turut menyuntik motivasi kepada semua ahli parti di cawangan-cawangan untuk memperhebatkan persiapan menghadapi cabaran politik akan datang.
“Sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy dan Haris Salleh mesti diteruskan. Dengan kekuatan jentera yang ada, UMNO Jerantut mampu menjadi contoh kepada seluruh negeri,” ujarnya lagi.
Razak turut menyeru semua jentera untuk kekal berdisiplin dan bersemangat bagi memastikan kesinambungan kejayaan parti pada masa hadapan.-SAHIH