JEMBARA BANTU SURAU TAMAN MARAN JAYA
JEMBARA BANTU SURAU TAMAN MARAN JAYA
MARAN: Keadaan cuaca yang bertambah baik sejak pagi tadi memberi peluang kepada penduduk dan badan sukarela memulakan kerja pembersihan kediaman serta surau di sekitar daerah ini.
Tinjauan di sekitar bandar Maran mendapati kebanyakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir hujung minggu lalu, sudah kembali meriah dengan kedatangan pelbagai pihak bagi menghulurkan bantuan.
GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN SURAU TAMAN MARAN JAYA DILAKUKAN AHLI JEMBARA BERSAMA PENDUDUK DAN TURUT DIBANTU ANGGOTA JBPM MARAN
Tidak ketinggalan 31 ahli Kelab Jembara Al-Falah (JEMBARA) dari Sungai Isap, Kuantan turut bersama turun padang menghulurkan bantuan kepada penduduk di Taman Maran Jaya, dekat sini.
Mereka bersama jemaah surau berkenaan bergotong-royong membersihkan persekitaran surau terbabit yang dinaiki air kira-kira 1.5 meter.
Pengerusi JEMBARA, Abd Rahim Othman berkata, kerja membersihkan surau itu bermula kira-kira jam 10 pagi tadi dan turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Maran.
“Kami difahamkan surau ini digunakan untuk pelbagai kegiatan keagamaan antaranya kelas mengaji al-Quran, kuliah agama dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain.
“Kita harap kerja membersihkan surau ini dapat disiapkan selewat-lewatnya petang ini dan boleh digunakan untuk solat Maghrib berjemaah hari ini,” katanya.
Selain membersihkan surau berkenaan, JEMBARA turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah seperti tikar, sejadah serta sumbangan wang tunai.
ANTARA PERALATAN DAN KELENGKAPAN SURAU TAMAN MARAN JAYA YANG ROSAK TERUK AKIBAT BANJIR HUJUNG MINGGU LALU
Sementara itu, Imam Surau Taman Maran Jaya, Khairuddin Kechik merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli JEMBARA dan JBPM Maran kerana memilih surau berkenaan untuk aktiviti gotong-royong hari ini.
“Saya mewakili penduduk di Taman Maran Jaya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi datang dari jauh untuk bersama-sama membersihkan surau kami.
“Sudah pasti jemaah dapat kembali mengimarahkan semula pelbagai kegiatan di surau ini bermula malam nanti,” katanya.
Surau Taman Maran Jaya mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah pada satu masa dan sentiasa menjadi tumpuan berikutan pelbagai aktiviti keagamaan yang sering dianjurkan ahli jawatankuasa surau terbabit.