JEMBARA BANTU KUMPUL AL-QURAN, YASIN UNTUK MASJID DAN SURAU
JEMBARA BANTU KUMPUL AL-QURAN, YASIN UNTUK MASJID DAN SURAU
KUANTAN: Bencana banjir di Pahang awal Januari lalu menyaksikan banyak masjid dan surau mengalami kerosakan struktur serta kelengkapan, termasuklah al-Quran dan surah Yasin.
Proses mengumpulkan semula dan penggantian naskah al-Quran dan Yasin yang rosak pula biasanya mengambil masa serta membabitkan kos yang tinggi.
Menyedari masalah itu, Pengerusi Kelab Jembara Al-Falah Kuantan (JEMBARA), Abdul Rahim Othman bersama ahli kelab berkenaan mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan al-Quran dan Yasin dari orang ramai untuk diagihkan kepada masjid dan surau di Pahang yang terbabit dalam musibah banjir.
GAMBAR IHSAN JEMBARA
“Idea untuk melakukan program ini tercetus susulan daripada aktiviti kami turun padang membersihkan masjid dan surau selepas banjir reda baru-baru ini.
“Ketika gotong-royong itu, saya rasa sangat sebak apabila melihat banyak al-Quran yang rosak dan diselaputi lumpur.
“Jadi, apabila kerajaan umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pertengahan Januari lalu, kami tidak lagi boleh merentas daerah untuk meneruskan program membersihkan masjid atau surau, jadi kami terfikir apa lagi yang boleh dibuat untuk membantu dan dari situlah timbul idea untuk mengumpul naskah al-Quran dan Yasin bagi diserahkan kepada pihak berkenaan,” katanya, dipetik dari KOSMO! Online.
Abdul Rahim berkata, pihaknya berjaya mengumpul kira-kira 5,000 naskah al-Quran dan Yasin dalam tempoh 10 hari, hasil sumbangan orang perseorangan, ahli jawatankuasa (AJK) masjid di kawasan Sungai Isap dan komuniti rukun tetangga (KRT).
“Kalau diikutkan perancangan asal, kami ingin serahkan sendiri sumbangan ini kepada masjid dan surau berkenaan, namun disebabkan kita masih dalam PKP, jadi kami fikir lebih baik serahkan kepada pihak JAIP dan mereka tolong uruskan (pengagihan) sumbangan ini,” katanya.
Sementara itu, Zulkifle berkata, sebanyak 55 masjid dan 33 surau di seluruh Pahang terbabit dalam bencana banjir awal Januari lalu.
“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada JEMBARA dan ahli masyarakat yang begitu prihatin dengan menghulurkan bantuan ini.. InsyaAllah, kita akan edarkan sumbangan ini ke semua (masjid dan surau) dalam masa terdekat.
“Semoga usaha murni ini dapat membantu masyarakat, terutamanya masjid dan surau yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan RM10,000 bagi setiap masjid dan RM5,000 bagi surau yang rosak akibat banjir di Pahang.