JATUH PENGSAN KERANA TEKANAN DARAH TINGGI
JATUH PENGSAN KERANA TEKANAN DARAH TINGGI: TIADA UNSUR JENAYAH
SUNGAI BESAR: Keadaan di sebuah bengkel motosikal di pekan ini gempar selepas seorang lelaki warga emas pengsan secara tiba-tiba, semalam.
Lim Chee Khoon
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, berkata warga emas berusia 72 tahun itu dipercayai rebah ketika menunggu motosikalnya dibaiki di bengkel terbabit.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tiada kecederaan pada tubuh badan mangsa.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam susulan disyaki menghidap tekanan darah tinggi,” katanya kepada BH ONLINE ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Chee Khoon mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu termasuk mengaitkan mangsa mengalami COVID-19.
Sebelum ini, tular di media sosial video kehadiran petugas kesihatan yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bersama sebuah ambulans di bengkel terbabit.
Video berdurasi 21 saat itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata berharap ia bukan kes Covid-19 selain mendoakan kesihatan lelaki warga emas itu.