JANGAN UBAH SISTEM SPM SEWENANG-WENANGNYA
JANGAN UBAH SISTEM SPM SEWENANG-WENANGNYA
KUALA LUMPUR: Sistem peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya kerana peperiksaan awam ini mempunyai standard yang tinggi dan diiktiraf oleh pakar tempatan dan antarabangsa di bawah kelolaan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik mahu sistem SPM sedia ada diteruskan dengan hanya menambahbaik mengikut situasi semasa dan berasaskan kehendak pasaran global.
“Mulai tahun 2021, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), kurikulum baharu mula digunakan dan calon SPM 2021 adalah kohort pertama akan menduduki peperiksaan tahun ini menggunakan kurikulum ini (KSSM).
“Jangan diubah format sedia ada sewenang-wenangnya, tetapi menambahbaik boleh diterima, perubahan perlu dikaji seluas-luasnya kerana setiap perubahan mengambil masa yang lama iaitu minimum tiga tahun dan boleh mencecah hingga lima tahun,”katanya kepada SAHIH.
Katanya, SPM masa kini diterima pakai oleh negara lain dan menjadi pengukur kemasukan ke kolej atau universiti luar negara, khususnya kolej dan universiti luar negara yang berada di negara kita dan berpengkalan di negara lain.
“Perubahan mendadak boleh merosak sistem dan tahap keboleh percayaan standard SPM itu sendiri.
“Kini, calon atau pelajar tingkatan lima turut di uji Inventori Kematangan Kerjaya (IKK) oleh konselor sekolah, di sini pelajar yang bakal menduduki SPM sudah disediakan dengan hala tuju kerjaya dan minat masing-masing, sijil akan dikeluarkan bersama keputusan SPM nanti,” katanya.
Jasni berkata, selain itu Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sudah ada dalam sistem pendidikan negara, pelajar sekolah menengah bermula dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima akan diberi pengiktirafan sebanyak 10 peratus penglibatan dalam kokurikulum.
“Sijil PAJSK turut dikeluarkan oleh pihak sekolah bersama keputusan SPM yang diumumkan kemudian.
“Selain itu, pelajar SPM turut dinilai dalam pendidikan Agama Islam dan pendidikan moral yang jarang berlaku di negara lain sebagai menambah pendidikan nilai murni generasi muda,”katanya.
Katanya, SPM mempunyai sejarah panjang dan setaraf dengan sijil General Certificate of Education ‘O’ Level di England, Wales dan Ireland Utara, walau begitu mereka menggantikan secara beransur-ansur dengan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) di bawah kelolaan Cambridge International Examination (CIE).
Kebanyakan negara Commanwealth seperti India, Pakistan, Singapura, Seychelles, Mauritius, Brunei, Zimbabwe dan Sri Lanka dan beberapa negara lain turut menggunakan peperiksaan menggunakan standard yang setaraf dengan SPM.
“Kalau mahu diubah pun mungkin cara tadbir urus peperiksaan seperti dilaksanakan untuk Sijil TInggi Pelajaran Malaysia (STPM) di bawah Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
“Mungkin peperiksaan dijalankan mengikut sistem semester bermula daripada tingkatan empat (semester satu), tingkatan lima (semester dua) dengan memasukkan elemen penting kokurikulum dan nilai murni yang turut dinilai untuk memberi kekuatan merit kepada pelajar,”katanya.
Katanya, berkaitan dengan minat dan kecenderungan pelajar dalam sesuatu bidang itu, mereka boleh memilih jurusan diminati di Giat Mara, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan politeknik yang menawarkan latihan kemahiran termasuk Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). -SAHIH