JANGAN TERLALU GHAIRAH KONGSI MAKLUMAT ANAK DI MEDIA SOSIAL
JANGAN TERLALU GHAIRAH KONGSI MAKLUMAT ANAK DI MEDIA SOSIAL
Kecanggihan teknologi yang menyebabkan munculnya pelbagai saluran media sosial pada hari ini menjadikan pelbagai maklumat dapat dikongsikan tanpa sempadan lagi.
Ada ibu bapa yang turut galak berkongsi mengenai pelbagai maklumat mengenai anak masing-masing di media sosial termasuklah sesi persekolahan yang baru bermula dua minggu yang lalu.
Sudah tentunya ada yang berpendapat ia adalah sebagai tanda kenangan dan sebagai salah satu cara untuk mereka mengabadikan memori berkenaan di media sosial supaya dapat dikenang di tahun mendatang.
Sedar atau tidak, tindakan itu sedikit sebanyak sebenarnya mendedahkan anak anda kepada risiko jenayah seperti kes culik dan pedofilia.
Dari tahun 2012 sehingga 2017, terdapat 482 kes kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan hilang di Malaysia. Dengan mengambil statistik pada tahun 2017 pula, boleh dikatakan purata 4 orang kanak-kanak hilang untuk setiap hari di negara ini.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan di dada akhbar, baru-baru ini turut menyatakan bahawa Polis Bukit Aman merekodkan 2,436 kes jenayah fizikal dan bukan fizikal dilakukan golongan pedofilia terhadap kanak-kanak sejak tiga tahun lalu.
Lebih membimbangkan apabila kes jenayah seksual ini didapati meningkat mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 membabitkan 1,065 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.
Sehubungan itu, Public Health Malaysia melalui perkongsian di laman Facebook berkongsi tip supaya ibu bapa tidak mendedahkan anak masing-masing dengan bahaya antaranya ialah:
- Tidak mendedahkan nama dan maklumat peribadi anak-anak
- Dimana anak-anak bersekolah
- Nama kelas dan nama maklumat di sekolah
- Gambar atau video anak-anak dihukum, didenda atau dimalukan
- Lokasi anak-anak tunggu kenderaan untuk pulang
- Gambar anak-anak dalam keadaan tidak berpakaian dengan sempurna
- Gambar anak-anak dengan duit, barang kemas dan barang berharga
Selain itu, ibu bapa juga disarankan supaya privatekan akaun media sosial masing-masing.
Hati hati ya ibu bapa, jangan terlalu teruja untuk berkongsi maklumat anak-anak anda di media sosial kerana mungkin ada mata yang sedang memerhati.
Sumber: Public Health Malaysia