JANGAN SENGAJA APIKAN ISU SENSITIF
JANGAN SENGAJA APIKAN ISU SENSITIF
KUALA LUMPUR – Isu tiga penyampai radio swasta yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan bukan Islam terus menjadi perhatian umum dengan pelbagai pihak menyuarakan pandangan masing-masing.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa pemimpin seharusnya bertindak sebagai pendamai dan bukannya pencetus kemarahan dalam isu-isu sensitif seperti ini.
Menurutnya, tindakan penyampai radio berkenaan adalah satu kesalahan yang tidak mencerminkan ajaran Islam dan perlu diambil sebagai pengajaran, bukan alasan untuk mengeruhkan perpaduan.
“Malaysia telah menyaksikan banyak perselisihan kaum dan agama sejak dahulu lagi, malah pernah mencapai tahap kritikal seperti tragedi 13 Mei 1969. Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, kerajaan terdahulu telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara, namun ketidakstabilan politik kebelakangan ini menyebabkan isu perkauman dan agama semakin diperkatakan secara terbuka.
Justeru, beliau menyeru semua pemimpin politik serta masyarakat untuk memainkan peranan dalam meredakan keadaan, bukan menambahkan ketegangan.
“Pemimpin tidak boleh menjadi pencetus konflik atau membiarkan api perbalahan terus marak. Pihak berkuasa juga perlu bertindak adil, mengambil langkah sewajarnya untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat tanpa mengikut desakan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terperangkap dalam kitaran saling mencari kesilapan antara satu sama lain semata-mata untuk membalas dendam.
“Negara ini perlu bebas daripada isu sebegini. Pada usia 68 tahun, kita harus fokus kepada pencapaian dan kemajuan negara, bukannya terus bergelumang dalam konflik kaum dan agama yang tiada kesudahan,” tegasnya.-SAHIH