JANGAN SALAH GUNA SURATAN HAK MILIK UNTUK KEPENTINGAN SENDIRI
JANGAN SALAH GUNA SURATAN HAK MILIK UNTUK KEPENTINGAN SENDIRI
KUANTAN – Semua penerima suratan hak milik tanah dari kerajaan negeri diingatkan supaya tidak menjual tanah berkenaan hingga menyusahkan kehidupan mereka selepas itu, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius tindakan itu kerana ia boleh membantutkan usaha kerajaan mengagihkan tanah kepada golongan sasaran.
“Kita kena ingat, sumber tanah sangat terhad dan tidak sepatutnya mereka yang mendapat hak milik atas tanah kerajaan negeri yang dipohon menjual tanah itu untuk mendapatkan keuntungan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Kekal Taman Sepakat dan Sumbangan Wang Ihsan di Dewan Taman Sepakat, dekat sini, hari ini.
Seramai 81 pemilik tanah menerima suratan hak milik pada program itu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda dan Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.
Wan Rosdy turut berkata, proses pemberian suratan hak milik kepada penduduk mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses sebelum dimuktamadkan.
“Memang proses untuk mengeluarkan suratan hak milik ini mengambil masa sedikit kerana perlu melalui prosedur tertentu.
“Macam di sini (Taman Sepakat), mereka menunggu kira-kira 40 tahun sebelum kerajaan negeri dapat mengagihkan suratan hak milik kepada semua pemilik.
“Janganlah jual pula bila sudah dapat, gunalah sebaik mungkin dan kalau belum ada rumah, buatlah rumah di atas tanah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, seramai 2,000 penduduk terjejas banjir di sekitar daerah Kuantan layak menerima sumbangan wang ihsan.
“Setiap ketua isi rumah menerima RM500 dan secara keseluruhannya sumbangan wang ihsan ini membabitkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bencana yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sebahagian daripada penduduk menerima wang ihsan hari ini dan selebihnya akan diagihkan secara berperingkat,tapi semua akan dapat,” katanya.-SAHIH