Jangan pertikai calon baharu dan muda yang yakin menang- Wan Rosdy
Foto atas : WAN ROSDY Wan Ismail (duduk, dua dari kanan) sedang beramah mesra dengan penduduk sempena Majlis Ramah Mesra Masyarakat DUN Batu Talam di Tapak Pekan Sehari Felda Tersang Tiga, Raub.
PRU15 – Jangan pertikai calon baharu, muda yakin menang PRU15 di Pahang – Wan Rosdy
RAUB – Barisan Nasional (BN) sudah menganalisis pelbagai perkara bersama Ketua UMNO Bahagian masing-masing termasuk pucuk pimpinan tertinggi daripada parti komponen seperti MCA dan MIC di Pahang sebelum meletakkan calon tertentu di kawasan ditetapkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN meletakkan calon baharu dan usia muda diyakinkan mampu memberikan kemenangan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan seterusnya sebagai pelapis pada masa akan datang.
“Misalnya, BN Pahang meletakkan muka baharu, Datuk Chong Sin Woon bertanding di Parlimen Raub dalam PRU-15 ini kerana diyakini beliau ada ketokohan dan berwibawa serta mampu memberikan kemenangan kepada BN.
“BN Pahang akur calon yang dikemukakan oleh MCA dan bertanding atas tiket BN ini sudah pastinya terdiri daripada calon yang cukup layak sekali gus boleh memenangi hati pengundi sehingga membawa kepada kemenangan bagi kerusi kawasan yang ditandingi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Masyarakat Dewan Undangan Neger (DUN) Batu Talam bertempat di Tapak Sehari Felda Tersang Tiga dekat sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, BN Pahang sudah tahu ‘track record’ Sin Woon mempunyai pengalaman luas dalam arena politik selain turut pernah memegang jawatan penting selaku Timbalan Menteri Pendidikan dari tahun 2015 hingga 2018.
Katanya, Sin Woon juga merupakan seorang yang berpengalaman luas kerana pernah beberapa jawatan penting termasuk dilantik menjadi Setiausaha Agung kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.
“Gabungan Sin Woon, calon baharu dengan calon lama, iaitu penyandang ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram secara langsung boleh membantu Sin Woon dan Parlimen Raub untuk sama-sama berkempen sehingga melakarkan kemenangan kepada BN pada PRU15 ini.
Selanjutnya Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan BN Pahang menegaskan pengundi di Parlimen Raub seharusnya memberi kepercayaan kepada Sin Woon yang merupakan calon muda yang berkaliber selain turut dilihat mempunyai komitmen tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat.-SAHIH.