JANGAN LUPA SOP KETIKA SAMBUT RAYA
JANGAN LUPA SOP KETIKA SAMBUT RAYA
KUANTAN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, ialah kali kedua menyambutnya dalam keadaan dunia, negara dan negeri kita yang masih bergelut dan berlawan wabak pandemik COVID-19 yang kadar penularannya masih lagi membimbangkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penularan merebak berpunca pengabaian semakin ketara oleh sebahagian daripada kita, terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Percayalah, tiada sesiapa pun yang mahukan wabak ini terus berada dalam komuniti serta kehidupan kita, apatah lagi ketika kita sepatutnya bergembira bersama keluarga dan sanak-saudara, merayakan hari yang mulia ini.
“Mengambil kesempatan ini, saya sarankan agar kita, terus mematuhi SOP yang ditetapkan, dengan sentiasa memakai pelitup muka, dan mengamalkan penjarakan sosial, apabila berada dalam kalangan khalayak,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, sepertimana beliau dan kerajaan negeri tidak jemu-jemu membuat saranan ini, beliau merayu, agar terus cekal dan patuh kepadaNya, dan sama-sama menaruh keyakinan bahawa, kita akan akhirnya berjaya.
“Kepada mereka yang belum mendaftar menerusi Program Imunisasi COVID-19, saya sarankan agar dapat berbuat demikian, menerusi aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang atau S.I.C.P, melalui pautan ‘vaksin.pahang.gov.my’.
“Sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri bagi pihak diri dan keluarga, serta kerajaan negeri, saya pohon Maaf, Zahir dan Batin kepada semua. Semoga kita dapat rayakan hari lebaran ini dengan sewajarnya, In Sya Allah,” katanya.-SAHIH.