Jangan Guna Alasan COVID-19 Punca Kenaikan Harga Barang
Jangan Guna Alasan COVID-19 Punca Kenaikan Harga Barang
JERANTUT – Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan alasan penularan COVID-19 sebagai punca kenaikan harga pelbagai barangan di pasaran ketika ini.
Menurut penduduk luar bandar, Razak Daud, sebagai kerajaan bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, setiap Kementerian berkaitan perlu mengambil langkah tegas bagi mengawal sebarang kenaikan harga barangan.
“Apa yang berlaku ketika ini, kenaikan (harga) barang tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan COVID-19, mesti ada sebab lain dan perkara ini perlu diteliti oleh kerajaan.
“Sepatutnya, agensi dan Kementerian perlu lebih peka memandangkan setiap keputusan membabitkan kenaikan harga barangan, perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum dibenarkan.
“Sekarang ini, banyak harga barangan sudah meningkat secara mendadak dan seolah-olah tidak ada pemantauan dilakukan, akhir sekali yang menanggung beban ialah pengguna dan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak Daud - penduduk luar bandar
Razak berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dikeluarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mendakwa pandemik COVID-19 antara punca menyaksikan kenaikan harga barangan, termasuk sayuran di pasaran ketika ini.
Nik Muhammad Zawawi berkata, pihak Kementerian sedang merangka pelan tindakan bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan seperti sayuran, ayam dan barangan mentah lain.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Razak menyarankan kerajaan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan membabitkan isu kenaikan harga barangan hingga mengelirukan rakyat.
Katanya, tindakan lebih tegas dan bersepadu juga perlu dilakukan kerajaan melalui agensi dan kementeri bertanggungjawab bagi mengawal segera kenaikan harga barangan untuk mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan.-SAHIH