JANGAN DENGAR DAKYAH, HANYA SEPERTI DIGIGIT SEMUT
JERANTUT: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mendapat sambutan menggalakkan kerana orang ramai tidak melepaskan peluang ketika menerima jemputan untuk divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini.
Tinjauan SAHIH mendapati ramai hadir untuk mendapatkan vaksinasi, malah ada yang hadir lebih awal sebelum masa yang dijadualkan.
Seorang jurucakap di PPV itu berkata, sejak kebelakangan ini semakin ramai yang hadir , ini menunjukkan tanda sambutan yang sangat positif mula diterima ramai.
Seorang penerima vaksin, Azman Talib (53) berkata, sebagai rakyat Malaysia yang mahu pandemik ini segera dihapuskan, perlu mendapatkan pelindungan diri agar tidak dijangkiti.
“Sewajarnya kita perlu mendapatkan imunisasi sebagai perisai diri untuk menghindari daripada wabak Covid-19.
“Selain diri kita dilindungi, kita juga bertanggungjawab untuk melindungi orang lain , “katanya ketika ditemui di PPV itu.
Seorang lagi yang turut menerima vaksinasi dos pertama, Roslan Ab Malik (60) berkata, saya memang menunggu lama setelah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Alhamdulillah…dengan adanya dos pertama dan bakal mendapat dos kedua tidak lama lagi, ini lebih memberi keyakinan kepada diri saya.
“Usahlah dengar dakyah yang disebarkan melalui media sosial, yang pasti kita mahu semua orang selamat, “katanya.
Isterinya, Shamsiah Mt Isa (55) berkata , tidak perlu dirisaukan , semasa disuntik seperti digigit semut sahaja, tak ada apa yang nak ditakutkan.
“Pelik, terdapat visual yang ditularkan melalui media sosial menunjukkan seolah terlalu sakit, jangan percaya,”katanya.-SAHIH