JANGAN BUAT KENYATAAN JEJAS KERJASAMA TIGA PARTI
JANGAN BUAT KENYATAAN JEJAS KERJASAMA TIGA PARTI
KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO dan PAS.
Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang baru-baru ini dilaporkan memberi kata dua supaya BERSATU tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak membawa apa-apa manfaat atau kebaikan kepada perpaduan politik orang Melayu.
Wan Saiful berkata, kenyataan oleh Menteri Besar Perak itu juga dilihat boleh menjejaskan perpaduan serta persefahaman yang wujud.
WAN SAIFUL WAN JAN
“BERSATU selama ini tidak membangkitkan isu berkaitan kerusi yang hendak dipertandingkan dalam PRU.
“Kita sentiasa berpegang dengan pandangan bahawa biarlah perkara sebegini diselesaikan secara harmoni di meja rundingan.
“Jangan sesiapa pun menjadi ejen perpecahan. Soal kerusi biarlah kepimpinan tertinggi pusat BERSATU, PAS dan UMNO yang berbincang mengenainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saarani dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar baru-baru ini dilaporkan memberi kata dua kepada BERSATU supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU-14 dan pihaknya tidak akan berkompromi serta bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi UMNO pada PRU-15.
Wan Saiful berkata, isu berkaitan kerusi itu tidak wajar dibangkitkan ketika rakyat sedang berdepan kesusahan dan memerlukan bantuan ketika ini, dipetik dari BH Online.
“Kita patut kuatkan kerjasama untuk menangani masalah rakyat, bukannya sengaja mahu bawa pecah belah. Kalau kita berpecah, yang akan bergembira hanya musuh politik kita,” katanya.