“Jangan biar tanah Pahang diceroboh sesuka hati” – Sultan Abdullah
“Jangan biar tanah Pahang diceroboh sesuka hati” – Sultan Abdullah
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap isu pencerobohan tanah di negeri ini yang semakin berleluasa.
Baginda bertitah, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu dan sindiket yang sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan serta tanah milik orang lain tanpa kebenaran.
“Saya tidak mahu lihat ada pihak yang ambil kesempatan, ceroboh tanah negeri untuk kepentingan sendiri. Jangan biarkan perkara ini terus berlaku,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, baru-baru ini.
Menurut baginda, isu pencerobohan tanah bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada negeri, malah boleh menjejaskan alam sekitar serta menimbulkan konflik dengan masyarakat setempat.
Baginda turut menegaskan agar pihak berkuasa negeri, khususnya jabatan tanah dan pejabat daerah, menjalankan pemantauan yang lebih ketat dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan.
“Saya mahu tindakan undang-undang diambil tanpa pilih kasih. Jangan tunggu viral baru nak bertindak,” titah baginda lagi.
Sultan Abdullah juga menyeru agar masyarakat tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku aktiviti pencerobohan di kawasan mereka.
Titah baginda itu mendapat perhatian warga maya yang rata-rata menyokong ketegasan baginda dalam menjaga khazanah negeri dan mengekang kerakusan pihak tidak bertanggungjawab.
Majlis turut dihadiri Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.-SAHIH