JANGAN BERSIKAP SAMBIL LEWA
JANGAN BERSIKAP SAMBIL LEWA
MARAN: Semua petugas perlu memastikan pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi dengan sempurna dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, peranan dan tanggungjawab itu adalah satu amanah dan tidak sepatutnya dilakukan secara sambil lewa hingga menyulitkan mangsa banjir.
“Saya harap petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara melakukan tugas mereka dengan baik dan sempurna… lakukan amanah dengan baik,” titahnya selepas mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, dekat sini, hari ini.
Turut mengiringi Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri KPKT yang juga Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Seramai 361 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di sekolah itu sejak banjir melanda daerah Maran, Jumaat lalu.
Baginda berdua kemudiannya meninjau keadaan mangsa dan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan semua mangsa supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak berlakunya penularan baharu wabak COVID-19.