Jangan Bakar Sentimen Perkauman – Datuk Ismail Yusuf (J-KOM)
Jangan Bakar Sentimen Perkauman – Datuk Ismail Yusuf (J-KOM)
TEMERLOH – Rakyat Malaysia diseru untuk terus menjaga keharmonian dan tidak membakar sentimen perkauman yang boleh menggugat perpaduan negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusuf.
Beliau menegaskan perkara itu ketika berucap dalam program Ihya Ramadan: Berkat Musyawarah Malaysia Madani, yang menekankan kepentingan perpaduan dalam membina sebuah negara yang maju dan stabil.
Menurutnya, media sosial kini menjadi cabaran besar dalam memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh merosakkan perpaduan.
“Kita berhadapan dengan cabaran sosial media yang begitu besar. Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan negara ini kekal berada di landasan yang betul,” katanya.
Datuk Ismail juga menegaskan bahawa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi satu hasrat yang telah lama wujud sejak 67 tahun lalu, berteraskan tamadun yang ingin dibina bersama.
“Tamadun ini bukan dibina atas dasar perpecahan, tetapi atas semangat perpaduan yang harus terus diperkukuhkan. Kita mesti berpegang kepada prinsip taat kepada negara dan raja.”
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa kepelbagaian kaum di Malaysia bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya ia adalah kekuatan jika masyarakat saling menghormati.
“Jangan ada perbalahan. Kepelbagaian kaum harus disertai dengan sifat hormat-menghormati dan diakhiri dengan penyatuan. Kita adalah satu bangsa di bawah satu Perlembagaan,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat untuk memahami tanggungjawab mereka dalam memastikan masa depan negara terus gemilang.
“Kita menentukan masa depan negara bangsa ini. Untuk merumuskan hala tuju yang lebih baik, kita mesti bersatu dan memberikan ketaatan kepada negara serta Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.-SAHIH