JANGAN ANGGAP DIRI KEBAL UNDANG-UNDANG
JANGAN ANGGAP DIRI KEBAL UNDANG-UNDANG
KOTA BHARU: Mereka yang tidak hadir ke mahkamah untuk prosiding, tidak bermakna mereka kebal undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari.
Dalam kes mahkamah membabitkan usahawan kosmetik Nur Sajat, atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang tidak hadir ke mahkamah bagi satu prosiding, beliau berkata mereka yang melakukan apa-apa kesalahan tidak boleh terlepas daripada undang-undang.
Beliau berkata, proses mahkamah perlu berhemah, teliti di samping mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), malah ia mempunyai panduan tertentu yang perlu diikuti, dan sesiapa sahaja, bukan hanya Nur Sajat, perlu mengikut lunas mengikut undang-undang dalam negara yang ditegakkan dengan prinsip Rule of Law.
“Tidak timbul soalan ketidakhadiran di mahkamah.. barangkali ada alasan yang boleh diterima mahkamah.
“Sekiranya mahkamah perlu tindakan lain, itu terpulang kepada mahkamah, cuma kes ini sedang berjalan,” katanya, lapor BH Online.
Beliau berkata demikian pada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Musaadah Bencana kepada mangsa kebakaran rumah, Mohd Yazid Mohd Nor, 30, orang kurang upaya (OKU) yang buta kedua-dua belah mata di Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini.
Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat, kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.
Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat, 36, dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, merujuk kepada pembinaan rumah berkenaan, Ahmad Marzuk berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM50,000 bagi pembinaan rumah tiga bilik itu di bawah Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ini adalah rumah pertama yang dibina menerusi tabung ini selain akan ada bantuan lain selepas ini,” katanya.