Jamuan Daging Kuda Cetus Kelainan Rumah Terbuka di Felda Jengka 24
Jamuan Daging Kuda Cetus Kelainan Rumah Terbuka di Felda Jengka 24
JENGKA: Buat julung kalinya, daging kuda menjadi sajian utama dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Felda Jengka 24, mencetuskan kelainan yang luar biasa dalam kalangan penduduk dan petugas di kawasan itu.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, sebanyak 50 kilogram daging kuda disediakan khusus bagi meraikan petugas yang terlibat dalam persiapan dan kelancaran program rumah terbuka yang diadakan setiap tahun itu.
“Alhamdulillah, seperti kebiasaannya, kita meraikan Aidilfitri dengan jamuan rumah terbuka. Sebelum ini kita biasa sediakan daging lembu, kambing dan ayam. Tapi tahun ini, kita buat sedikit kelainan,” katanya.
Menurut Razak, idea menghidangkan daging kuda itu timbul selepas pihaknya mahu memberikan sesuatu yang unik dan belum pernah dirasai oleh penduduk setempat.
“Selama ini, kita tak pernah makan daging kuda. Jadi, kita nak cuba sesuatu yang baru. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan ramai yang teruja mencubanya buat kali pertama,” katanya.
Katanya, daging kuda yang diperoleh itu dimasak dengan pelbagai resipi termasuk gulai, rendang dan panggang untuk memberi variasi rasa kepada pengunjung yang hadir.
“Majlis ini juga sebagai penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Kita mahu mereka rasa dihargai dan istimewa,” katanya lagi.
Selain jamuan istimewa, program turut diserikan dengan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk penyampaian sumbangan kepada 20 asnaf, dan meraikan bakal haji tahun , serta penyertaan 13 orang anak yatim , dua orang pesara iaitu guru serta pengurus FGV Felda Jengka 24 .
Keceriaan jelas terpancar apabila lebih 200 kanak-kanak menerima duit raya, manakala pertandingan hiasan dan penyediaan makanan mencatat penyertaan sebanyak sembilan buah gerai hiasan yang menampilkan kreativiti serta kerjasama komuniti yang erat.-SAHIH