JAMBATAN MUSNAH, RUMAH DIHANYUTKAN AIR
LIPIS: Sebuah rumah dihanyutkan air akibat hujan lebat sejak malam kelmarin di Pos Lenjang dan Pos Titom, dekat sini.
Turut rosak, sebuah jambatan konkrit dan tiga rumah penduduk.
Penghulu Mukim Ulu Jelai, Asyhar Amin Ahmad, berkata tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana rumah mereka ranap akibat fenomena kepala air.
“Laluan ke kampung dalam Pos Lenjang dan Pos Titom tidak boleh dilalui selepas jambatan di Pos Lenjang terputus dan pemantauan semasa mendapati keadaan air Sungai Lenjang masih deras,”katanya.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, Shahrul Nizam Nasir, berkata tiga buah rumah ranap dilanda kepala air termasuk kejadian tanah runtuh akibat daripada hujan lebat di Pos Lenjang, berdekatan simpang masuk ke Pos Titom.
“Pasukan Bomba melakukan pemantauan bagi memastikan lokasi kejadian berada di dalam keadaan selamat,”katanya.
Katanya, Pejabat Daerah Lipis, Jabatan Kerja Raya, Angakatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat ADUN Jelai dan Pejabat Penghulu Mukim Ulu Jelai turut terbabit dalam operasi menyelamat.