Jambatan ke kebun beri manfaat kepada 100 pekebun
Jambatan ke kebun beri manfaat kepada 100 pekebun
KARAK – Jambatan baharu Kebun Karak sepanjang 42 meter siap sepenuhnya, sekali gus memberi kemudahan pergerakan kepada lebih 100 orang pekebun yang bergantung kepada laluan berkenaan untuk mengeluarkan hasil kebun mereka.
Ahli Parlimen Bentong, Young Safura Othman berkata, jambatan sepanjang 42 meter itu dibina dengan kos kira-kira RM1 juta menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia Rail Link dan CCC (ECRL), selain sumbangan daripada pihak korporat serta komuniti sendiri.
“Pembinaan jambatan ini disifatkan sebagai satu inisiatif penting dalam meningkatkan aksesibiliti dan kelancaran pergerakan pekebun, khususnya bagi memudahkan urusan harian serta pengangkutan hasil pertanian.
“Penghargaan turut dizahirkan kepada Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, atas sokongan dan komitmen beliau dalam memastikan pelaksanaan projek ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.
Menurutnya, diharapkan usaha dan inisiatif berkenaan mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi para pekebun di kawasan berkenaan.-SAHIH.
