JAMBATAN BAILEY GANTI JAMBATAN BATANG KELAPA
JAMBATAN BAILEY GANTI JAMBATAN BATANG KELAPA
JERANTUT : Penduduk Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap mengenai kesukaran mereka keluar ke bandar Jerantut dan yang bersekolah di Felda Padang Piol bakal mendapat jambatan Compact Bailey menyeberangi Sungai Beletir tidak lama lagi untuk menggantikan jambatan batang kelapa dan kayu hutan yang dibaikki lantai jambatan yang rosak sebelum ini.
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau bersama wakil Pemerintah Tentera Kem Batu 5, Mentakab, telah melawat tapak jambatan kecil Sungai Beletir, Kampung Sungai Putat bagi kerja pembinaan tersebut yang akan dilakukan oleh anggota tentera tidak lama lagi.
“Menteri berkenaan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bersimpati dengan masalah penduduk di sini lalu segera meluluskan pembinaan jambatan Compact Bailey sebagai alternatif bagi menggantikan laluan (jambatan) yang dibina menggunakan batang kelapa dan kayu hutan secara bergotong-royong pada minggu lalu.
“Bagi pihak kerajaan negeri dan penduduk di sini, saya melahirkan penghargaan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana cakna dengan aduan ini serta mengambil tindakan segera untuk membina jambatan yang lebih kukuh bagi menggantikan struktur binaan daripada batang kelapa dan kayu hutan,” katanya.
Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar berkata, apabila siap jambatan bailey nanti penduduk di tiga buah kampung kawasan itu dapat berulang alik ke bandar serta pelajar ke sekolah dengan selesa dan selamat.
Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Putat, Mohd Zain Awang, 50, berkata, dia dan penduduk gembira mendapat tahu kerajaan akan menggantikan dengan pembinaan jambatan Compact Bailey di Sungai Beletir kampung tersebut.
“Kami merayu supaya segera dibina jambatan baharu ini sebelum Hari Raya Aidilfitri memandangkan hampir 1,000 orang penduduk di tiga buah kampung sangat mengharapkan kemudahan ini untuk berulang alik ke bandar dan pelajar ke sekolah.
“Bagi saya malahan penduduk di sini juga berharap jambatan besi (bailey) ini lebih kukuh berbanding projek (jambatan) separa konkrit dahulu yang kerap rosak apabila dilanda banjir musim tengkujuhr,” katanya di Kampung Sungai Putat dekat sini hari ini.
Tambahnya, penduduk di tiga buah kampung tersebut tidak mahu lagi berdepan kesukaran perhubungan pada masa akan datang khususnya hasil sawit dan getah tidak dapat dipunggah ke tempat jualan termasuk pelajar ke sekolah serta mereka yang berbelanja di bandar Jerantut terpaksa menggunakan laluan yang sangat jauh.